Tujuh (7) Sebab Terbaik Untuk Berhenti Merokok Sebelum Berkahwin Yang Masuk Akal. Dalam beribu alasan, kami berikan anda 7 alasan terbaik supaya anda berhenti merokok sebelum mendirikan rumah tangga.
Jom tengok tujuh sebab dan alasan terbaik untuk berhenti merokok sebelum kahwin di bawah ini:
1: Duit.
Dalam keadaan ekonomi yang sedikit mendesak dan tidak stabil ini, ada baiknya anda kurangkan mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu. Contohnya, rokok. Ada yang cakap belanja untuk rokok ini lain sedikit sebab sudah ketagih dan jadi tabiat yang susah hendak ubah. Tapi cuba anda fikir, (RM17 x 30 = RM510) kot. Banyak tu. Tambah sikit sudah boleh bayar ansuran bulanan kereta.
2: Kesihatan anda.
Sekarang efeknya tidak terasa sangat. Tetapi jika mahu ditunggu sehingga anda sudah berusia baru mahu menyesal, memang melaratlah nanti. Sekarang merokok mungkin boleh menjadi jalan mudah untuk anda melepaskan tekanan, tetapi ‘jalan mudah’ inilah yang akan menyebabkan anda tertekan di kemudian hari disebabkan masalah kesihatan. Cuba lepak dengan pak cik-pak cik yang selalu berulang-alik ke hospital disebabkan masalah kesihatan yang berpunca daripada tabiat merokok mereka. Anda akan tahu betapa payahnya hidup jika dibelenggu penyakit, lebih-lebih lagi jika anda bukan pesara kerajaan.
3: Kesihatan pasangan anda.
Tahukah anda, perokok kedua atau perokok pasif terdedah kepada bahaya asap rokok 3 kali ganda berbanding perokok aktif/pertama? Tahukah anda, kajian oleh WHO mendapati wanita yang bersuamikan perokok mempunyai risiko 30% lebih tinggi untuk mendapat barah paru-paru? Cuba anda fikir, ini tidak termasuk zaman bercinta lagi, bila anda selalu merokok ketika ‘dating’ sambil duduk berhampiran dengan pasangan anda. Kalau dulu memanglah rasa macam romantik, tapi tidak terlintaskah yang perkara ini perlahan-lahan meragut kesihatan insan yang anda sayangi? Bolehkah anda hidup tanpa pasangan anda?
4: Bau.
Bau rokok tidak wangi. Anda tahu, semua orang pun tahu bukan? Bukan bau baju anda sahaja yang berbau, badan, rambut, semua pun berbau. Penat sahaja anda mandi wangi-wangi.
5: Mati pucuk.
Ini untuk perokok lelaki.
6: Kehamilan.
Akan tiba satu masa anda akan perlu berhenti merokok apabila pasangan anda mengandung. Okay, mungkin anda akan cakap yang anda boleh sahaja merokok di tempat berasingan daripada pasangan anda. Namun, tahukah anda, kesan rokok pada baju/rambut/badan anda pun masih merbahaya kepada individu yang terdedah kepadanya? Jika anda adalah wanita dan merancang untuk hamil pula, ini adalah alasan terbaik untuk anda berhenti merokok. Utamakan kesihatan anda dan bayi.
7: Masa hadapan.
Jika anda boleh menanggung susah payah sakit seorang tidak apa. Namun, jika anda rasa tidak mampu menanggungnya seorang, cuba berhenti merokok. Ini bukan setakat menanggung sakit secara fizikal dan mental sahaja tau. Fikir nanti siapa yang perlu bawa anda ke hospital, teman anda di hospital, menunggu berjam-jam sementara anda mendapatkan rawatan, tidak tidur lena memikirkan masalah kesihatan anda, duit lagi, pendapatan keluarga terjejas kerana masalah kesihatan dan banyak lagi. Memanglah ada orang kata, apabila berkahwin ini, susah senang biarlah bersama. Tetapi, kalau sendiri yang cari penyakit dan tidak ada rasa kasihan pada diri sendiri dan pasangan, salah siapa itu? Jika anda ada masa lapang atau kebetulan berada di hospital, jangan setakat lihat pesakit yang berada di atas katil menerima rawatan. Cuba tengok ahli keluarga mereka yang duduk di luar bilik rawatan atau surau yang tidak cukup rehat, dengan wajah sugul dan kelihatan risau. Mahukah anda jika ahli keluarga anda menjadi seperti mereka kelak?
Sekian.
Entri Tambahan: Makanan Bersihan Paru-paru Dalam Masa 72 Jam, Sesuai Untuk Perokok!