To’ki Dan Anak Akhirnya Bersatu Selepas 4 Tahun Tak Bertemu

KUALA LUMPUR: Di sebalik apa yang berlaku, ada hikmah manis. Anak kepada penyanyi, To’ki, Noor Hidayah terpanggil bertemu bapanya selepas membaca nasihat netizen.sajaheboh.com - To'ki Dan Anak Akhirnya Bersatu Selepas 4 Tahun Tak Bertemu

Noor Hidayah, 27, atau mesra dengan sapaan Yaya berkata, mereka bertemu pada Jumaat lalu selepas kali terakhir bertemu ayahnya kira-kira empat tahun lalu.

“Awalnya, saya cukup terkesan dengan komen netizen, tetapi apabila direnung semula, teguran mereka memberi kesedaran. Walaupun macam mana pusingnya dunia, dia tetap ayah saya, tiada apa yang dapat mengubah hakikat itu.

“Alhamdulillah, berkat nasihat yang baik dan doa orang ramai, saya bertemu dengan ayah selepas empat tahun tidak berjumpa. Hubungan kami sekarang baik-baik sahaja, malah jujurnya, saya gembira hingga menitiskan air mata.

“Sememangnya setiap apa yang terjadi, ada hikmahnya. Disebabkan kisah tular, saya dapat berjumpa ayah,” katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut, Yaya bersama suami bertemu ayahnya pada Jumaat lalu, kemudiannya kembali membawa adik-adik yang lain pada hari berikutnya.

“Selepas kisah ayah tular, hati saya memang mahu bertemu ayah. Sebelum berjumpa, kami ada berbual di telefon. Apabila saya dan suami mahu keluar makan, kami mengajak ayah sekali pada Jumaat lalu.

“Esoknya, saya datang berjumpa ayah bersama adik-adik pula. Saya juga berkesempatan melihat rumah ayah dan kemudiannya, kami keluar makan bersama.

“Di restoran, kami berpeluang lihat ayah menyanyi secara ‘live’. Jujurnya, saya gembira, terubat rindu nak tengok ayah menyanyi. Bukan kami sahaja, malah ayah juga kelihatan gembira dapat bersatu semula dengan anak, cucu dan menantu,” kata ibu kepada dua orang anak lelaki itu.

To’ki turut memuat naik gambar perjumpaan bersama anak, cucu dan menantunya di laman Facebook. Bagaimanapun, anak sulungnya, tidak dapat bersama kerana mempunyai urusan lain pada saat terakhir. Perjumpaan itu turut disertai anak perempuan To’ki menerusi hasil perkahwinan kedua iaitu Nur Nilam Qaseh, 13.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut meluahkan rasa syukur melihat ayahnya sudah mempunyai tempat tinggal selesa didiami bersama isteri baharu, Sharifah Fairuz Syed Yusof.

“Doa kami sememangnya mahu lihat ayah hidup selesa. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu ayah.

sajaheboh.com - To'ki Dan Anak Akhirnya Bersatu Selepas 4 Tahun Tak Bertemu

“Melihat ayah bahagia bersama isterinya sekarang, kami juga gembira. Isterinya baik, melayan kami seperti keluarga sendiri ketika kami ke rumahnya,” katanya.

Mengulas mengenai ibunya, Yaya berkata, ibunya gembira melihat hubungan mereka kembali jernih.

“Ibu selalu berpesan tidak melupakan ayah. Dia, antara insan yang paling gembira melihat kami berjumpa ayah. Selepas ini, insya-Allah kami akan selalu berjumpa ayah.

“Selepas apa yang terjadi, kami adik beradik merasakan ayah layak untuk hidup gembira dan sekarang, kami mahu menggembirakan ayah,” katanya.

Terdahulu, Yaya mendakwa kali terakhir bertemu bapanya kira-kira empat tahun lalu ketika melangsungkan perkahwinan. Yaya mengeluarkan dakwaan selepas kisah kehidupan To’ki, 53, dan isterinya, Sharifah Fairuz, 48, yang tinggal dalam pondok di pinggir hutan di Batu 12, Gombak, tular, beberapa minggu lalu.

To’ki memiliki lima cahaya mata hasil daripada perkahwinan pertama. Anak sulungnya, Mohd Hafizi, 28, diikuti Noor Hidayah, 27, Noor Husna, 22, Noor Aishah, 21 dan Mohd Hairi Hanis, 18. Menerusi perkahwinan kedua bersama Nik Aida Mustapha dikurniakan Nur Nilam Qaseh.

Sumber: Berita Harian

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *