“Tak Payahlah Nak Beli Kat Dia. Pakai Baju Koyak Nak Minta Simpati Laa Tu” Orang zaman sekarang seringkali menilai individu dengan paras rupa. Jikalau seseorang itu cantik dan bergaya, dia akan disanjung dan dihormati semua.
Namun jikalau seseorang itu memakai pakaian lusuh dan kelihatan compang-camping, dia akan dikutuk dan dihina.
Menerusi perkongsian aktiviti sosial, Syed Azmi di Facebook, dia telah menceritakan pengalamannya dihalang daripada membeli buah-buahan yang dijual seorang lelaki yang kelihatan tidak terurus.
Berikut apa yang ditulisnya:
“Semasa dalam perjalanan pulang ke bandar, kami terjumpa dengan lelaki ini. Dia berada di luar Masjid Mukim Peringat, Kota Bharu.
“Pada awalnya dia duduk di atas tanah dan menjual buah limau dengan harga RM10 sekilo. Kawan saya bertanya jikalau kami boleh membelinya kerana kami bakal melawati beberapa tempat dan tiada apa yang nak dibawa ke sana.
“Pakcik ini bungkuskan ia kepada kami. Buat masa ini, saya tidak merasa kasihan pun kepadanya walaupun dia memakai baju koyak. Kata pakcik itu, kadang-kadang dia duduk berteduh di masjid. Sama seperti penjual yang lain, dia gembira ada orang datang membeli kesemua buah-buahannya.”
Namun, sedang Syed Azmi dan rakannya leka melayan pakcik tersebut, kedengaran suara menjerit dari belakang dengan biadap,
Tak payah nak beli kat dia. Pakai baju koyak nak minta simpati. Dah nasihat banyak kali pun masih pakai baju koyak.”
Aik dah kenapa pulak ni?
Syed Azmi tiba-tiba berasa malu. Walaupun dia dan rakan cuba mengendahnya, lelaki tersebut masih bercakap kuat dan tidak mahu berhenti mengutuk pakcik tersebut. Pada saat ini, baru timbul rasa kasihan Syed Azmi kepada pakcik tua itu.
“Pakcik itu menghantar saya ke kereta. Dia minta maaf. Saya kata kepadanya, saya masih menganggap dia baik orangnya. Kalau dia mahu menipu saya, tipulah. Tapi keuntungan saya ialah dengan memiliki buah-buahan yang menarik ini. Tu je. Jual beli. Marketing.”
Kata Syed Azmi lagi, dia juga tidak mahu mendengar cerita-cerita buruk mengenai lelaki tersebut yang kononnya penagih dadah ataupun berasal dari Siam dan lain-lain. Dia tidak berminat dengannya dan hanya ingin membeli buah-buahan daripada lelaki itu saja. Kan… nak beli buah pun kena tahu kisah lampau si penjualnya ke?
“Saya faham jugaklah yang marah-marah tu nak lindungi saya mungkin… Terima kasihlah kalau nak protect saya, tapi ada cara lagi molek. Pakcik penjual tu pun tak ada nak balas atau kutuk balik. Dia senyap saja.
“Saya malu. Kalau tak nak beli atau derma takpe. Tapi janganlah sampai halang orang lain.”
Malah sebelum pulang, dia ada juga terfikir untuk memberi sebungkus buah limau tersebut kepada lelaki yang menghalangnya tadi sebagai tanda ‘terima kasih’. Tapi akhirnya, dia melupakan niatnya itu kerana bimbang dia bakal mengeluarkan kata-kata yang tidak indah pula kepada lelaki itu. Lebih baik tak payah layan je kan?
Janganlah menghina seseorang itu hanya kerana paras rupa. Yang penting hatinya ikhlas menjual dan tidak menipu pelanggan. Ada orang pakai cantik-cantik, tapi masih lakukan perkara tak elok juga kan??