Polis Tahan Semua Pelakon Iklan Raya Promosi Judi

Kuala Lumpur: Polis sudah menahan pelakon dalam video iklan raya mempromosikan judi dalam talian (online) yang tular hingga menimbulkan kegusaran awam.Polis Tahan Semua Pelakon Iklan Raya Promosi Judi

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan semua pelakon dalam video itu ditahan di sekitar ibu negara, semalam.

Tanpa mendedahkan secara terperinci termasuk waktu penahanan mereka, katanya, semua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

“Semua pelakon dalam video promosi judi online itu sudah ditangkap polis.

“Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi sudah tangkap pelakon-pelakon ini (video judi online).

“Esok (hari ini) kita akan reman mereka,” katanya seperti dilaporkan kepada MalaysiaGazette lewat malam tadi.

Mohamad Zainal berkata, mereka kini ditahan di lokap Dang Wangi dan hari ini menunggu kelulusan tahanan reman oleh Majistret Kuala Lumpur bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Muka depan Harian Metro melaporkan, tak sampai lima hari berpuasa, video promosi judi dalam talian bertemakan lagu raya muncul di media sosial, sekali gus mengundang kegusaran awam.

Polis yang menyifatkan ia melanggar undang-undang, kini giat mengesan pelakon dan penerbit video iklan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, satu laporan polis berkaitan video tular itu dibuat selepas dikesan dalam media sosial kelmarin.

“Pada 15 April, terkesan satu video yang tular berdurasi dua minit satu saat yang didapati mempromosikan judi dalam talian.

“Isi kandungan video berkenaan didapati jelas sudah melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955 dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan diminta membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *