PM Kanada Nak Jumpa Makcik Dari Johor Bahru Ini, Tapi Dia Terpaksa Tolak..Kenapa Agaknya? Baru-baru ni ada satu video viral yang menyiarkan seorang wanita berusia 70-an, Sabariah Hussein yang digelar sebagai Mother Teresa beragama Islam oleh orang-orang di Montreal, Kanada kerana kegiatan amalnya.
Yang membuatkan kitorang terkejut ialah, makcik ni sebenarnya berasal dari Johor Bahru dan telah berhijrah ke Kanada sejak 30 tahun lalu setelah menamatkan satu kursus masakan antarabangsa kat Kuala Lumpur.
Apa yang menariknya, dia akan memasak untuk 300 orang pada setiap hari. Ini termasuklah pada bulan Ramadhan untuk diberikan kepada pelajar, gelandangan, pelarian dan jugak kepada golongan wanita yang teraniaya di kawasan apartmennya kat Montreal.
Dia dibantu oleh sekumpulan sukarelawan pelajar dari universiti tempatan.
“Sebelum saya datang ke sini, saya memang suka memasak, tapi bila masak dengannya (Mak Cik Sabariah), banyak lagi perkara yang dapat saya belajar. Dia memang sangat hebat” – Mohamed Elkhodiry, kumpulan sukarelawan pelajar
Antara trofi yang di dapat sebab buat keje amal
Di atas segala usahanya itu, Sabariah (atau rakyat Kanada memanggilnya sebagai Sabria) telah menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Inspiratif Wanita pada tahun 2015 dari Majlis Wanita Islam Kanada.
Disebabkan sumbangan dan kerja amal dia ni lah yang membuatkan Perdana Menteri Kanada iaitu Justin Trudeau sendiri nak jumpa dia. Tapi permintaan tu telah di tolak oleh Sabariah. Tapi kenapa?
Dia terpaksa batalkan perjumpaan tu sebab sibuk memasak
Ye la, tengok la busy sangat Mak Cik Sabariah ni.
Wanita ni menjadi perhatian apabila dia telah menolak jemputan Perdana Menteri Kanada. Sebabnya, dia terlalu sibuk dengan aktiviti kesukarelawan untuk membantu menyediakan dan mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan seperti gelandangan dan mangsa penderaan.
Sebab itulah dia menolak untuk jumpa Justin Trudeau kerana menghadapi kekangan masa.
“Saya tak cari populariti, saya cuma nak orang tahu yang orang Islam adalah orang baik.”-Makcik Sabariah
Sepanjang 30 tahun dia menetap kat Montreal, dia telah menjalankan pelbagai aktiviti kemanusiaan termasuklah food bank dan soup kitchen. Menurut Sabariah, dia mendapat inspirasi untuk melakukan kerja amal ini daripada ibunya, yang banyak menyediakan makan kepada ribuan orang yang tak berkemampuan sepanjang dia membesar.
Dia merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik. Malah sampai satu tahap tu diorang pernah tinggal seramai 18 orang dalam sebuah rumah pada satu-satu masa. Selain daripada keluarga, ada kawan-kawan yang dalam kesusahan turut tinggal bersama.
Makcik Sabariah bersama keluarganya.
Walaupun dia tak sempat jumpa PM Kanada, tapi dia masih berharap untuk jumpa juga satu hari nanti. Dan masa tu, dia akan masakkan mee cara masakan Malaysia bila diorang jumpa nanti.
Dia sebenarnya tak dibayar pun untuk menolong orang ni!
Apa yang membuatkan kitorang makin terkejut ialah, Sabariah langsung takde terima duit daripada mana-mana pun diatas semua kerja kebajikan yang dilakukannya itu walaupun kerja amalnya tu boleh dikatakan seperti pekerjaan sepenuh masanya. Jadi ni bermakna dia lakukan semua tu dengan ikhlas lah?
“Saya anggap kerja ni ikhlas kerana Allah sebab saya tak dibayar”
Satu-satunya cara dia memperolehi pendapatan ialah dengan menjual makanan kat luar masjid tempatan selepas Solat Jumaat. Menurut Sabariah lagi, tujuan utama dia lakukan semua tu adalah untuk menunjukkan kepada orang Kanada tentang imej positif umat Islam.
Kini Sabariah menganggap yang usianya pun dah semakin suntuk untuk membuat kerja amal dan dia berharap agar sumbangan yang dilakukan ini dapat dijadikan inspirasi kepada generasi muda beragama Islam untuk keluar membantu mereka yang memerlukan.
Sejak tahun 2001 Sabariah telah menjalankan pelbagai kerja amal melalui Our 2nd Home Shelter (rumah perlindungan wanita) termasuklah menyediakan makanan dan mengadakan kelas memasak. Di samping itu, dia jugak turut melakukan pelbagai kebaikan lain seperti melawat pesakit di hospital yang tak mempunyai keluarga, membantu menjaga warga emas dan mengasuh bayi.
“Kita boleh nampak yang dia ni sangat prihatin dekat semua orang dan dia langsung tak mementingkan diri sendiri”. – Steven, salah seorang yang menerima makanan Sabariah
Kalau korang nak tahu, dia jugak bekerja dengan Human Concern International yang merupakan sebuah badan amal Islam-Kanada yang tertua, untuk mengumpul dana bagi rakyat Rohingya kat Malaysia. Setakat bulan Jun saja, diorang dah berjaya mengumpulkan sebanyak $78,000 untuk membeli dan mengubahsuai rumah untuk anak yatim Rohingya.
Kebanyakan orang umur 70 memang dah tak larat…tapi dia masih gigih membantu
Kalau makcik yang berusia 70-an tu mampu membuat kebaikan dengan kerja amalnya itu sampai memberi kesan kat masyarakat Kanada, korang pun mesti boleh lakukan kebaikan seumpamanya kat sini jugak kan?