Percaya Batu Delima Boleh Gandakan Duit, Peniaga Rugi RM10,000 

Seorang peniaga kedai runcit mendakwa kerugian RM10,000 (S$ 3,268) selepas membeli sebutir batu delima merah yang dikatakan sebagai ‘ibu duit’ daripada seorang bomoh warga Indonesia.Percaya Batu Delima Boleh Gandakan Duit, Peniaga Rugi RM10,000 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Kama Azural Mohamed berkata mangsa yang berusia 43 tahun membeli batu delima itu pada 25 Mei lalu, semasa beliau dan isteri bertemu suspek untuk berubat.

Suspek yang berusia 46 tahun, katanya, menunjukkan satu tin yang diisi penuh dengan wang kertas RM100 (S$32.7) dan menawarkan delima merah itu yang dikatakan boleh menggandakan wang.

“Mangsa dipercayai terpengaruh lalu membeli delima merah itu. Suspek kemudiannya memberi delima merah bersama empat tin biskut yang didakwa akan dipenuhi duit selepas tempoh tertentu.

“Suspek juga memberi syarat kepada mangsa untuk tidak membuka tin itu dalam tempoh enam hari,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan Pahang, pada Khamis (20 Jun).

Supt Kama Azural berkata mangsa bagaimanapun kecewa selepas mendapati tiga daripada tin itu kosong, manakala sebuah lagi dipenuhi sampah selepas membukanya enam hari kemudian.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan ke rumah sewa suspek di Jalan Kemaman di sini, pada 14 Jun lalu.

Serbuan itu juga membawa kepada penemuan selaras senapang buatan sendiri di rumah yang dipercayai dihuni suspek seorang diri sejak tiga bulan lalu.

Supt Kama Azural berkata polis juga menemui 15 butir batu permata, televisyen pelbagai jenama (tujuh), telefon bimbit (dua), wang kertas RM100 (S$32.7) dan RM50 (S$16.3) berjumlah RM5,800 (S$1,895) dan beberapa keping duit syiling lama.

Suspek juga sudah tamat permit untuk berada di Malaysia kini direman 14 hari bermula 15 Jun lalu bagi membantu siasatan.

– Bernama

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *