Pemandu cedera dipukuI pengguna jalan raya selepas dikatakan membuat pusingan U di Kilometer 13 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil di sini, malam tadi, hingga menyebabkan kemalangan dengan lima kenderaan dan mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.
Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, penunggang motosikal berusia 18 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan dada.
Dua lagi penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta cedera ringan, manakala seorang lagi penunggang tidak mengalami kecederaan.
Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berusia 57 tahun cedera di kepala kerana dipukul dengan topi keledar oleh pengguna jalan raya lain dan dibawa ke Balai Polis Padang, sebelum dirawat di hospital swasta di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata kejadian membabitkan kenderaan dari arah Sungai Petani ke Kuala Ketil.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta membuat pusingan U untuk kembali ke arah Sungai Petani.
“Ketika hendak membuat pusingan U, sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 22 tahun cuba mengelak ke kiri lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.
“Selepas itu, motosikal ditunggangi mangsa yang maut dan sebuah lagi motosikal ditunggangi remaja 18 tahun tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian kanan kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata, seterusnya kereta lain dipandu lelaki berusia 60 tahun tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian kanan kenderaan berkenaan dan turut melanggar mangsa yang meninggal dunia.
Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal berusia 20 tahun cuba mengelak tetapi jatuh sendiri.
Katanya, mangsa kemalangan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Sumber: BH