SUNGAI PETANI – Sepasang bakal pengantin yang akan melangsungkan pernikahan awal bulan depan antara yang ditahan kerana berkhalwat di sebuah motel di Bedong, di sini semalam.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan berkenaan yang masing-masing berusia 29 tahun itu mengaku hadir ke Pejabat Agama Daerah Sik pagi semalam bagi menghantar borang nikah sebelum mendaftar masuk ke motel berkenaan.
Katanya, wanita terbabit yang berasal dari Sik dan bekerja di sebuah kilang di Kulim mendakwa akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya yang menetap di Sungai Lalang itu pada 3 Ogos depan.
“Selain pasangan ini, kita turut menahan enam lagi pasangan dalam operasi di sekitar daerah Kuala Muda dan Yan.
“Antara lokasi terlibat adalah di kawasan Gurun, Bedong, Jeti Semeling, Bandar Puteri Jaya, Taman Jubli Perak, Dataran Jam Besar, Riverfront dan Amanjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan diadakan bermula dari jam 10 malam sehingga 5 pagi tadi dengan bantuan 35 anggota dari JAIK, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Yan.
“Semua pasangan yang ditahan ini akan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana berkhalwat.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber: Sinar Harian