Orang Kuat Menguap Bukan Tanda Pemalas Tapi Sebenarnya Terlalu Pintar. Satu kajian saintifik terbaru mendapati tempoh anda menguap berhubungkait dengan jisim otak anda dan bilangan neuron dalam otak.
Menurut keputusan penyelidikan itu, jika anda mempunyai otak yang lebih besar, maka lebih panjanglah anda menguap.
Manusia menguap paling lama
Kajian yang diterbitkan dalam Biology Letters itu mengkaji video pelbagai spesies menguap. Ini termasuklah cimpanzi, kucing, anjing, gorila, musang, unta, kuda, tikus dan sebagainya. Setiap aktiviti menguap diperhatikan dan diukur tempoh masanya.
Manusia pula mempunyai tempoh menguap yang paling panjang kerana otak kita mempunyai jisim yang paling berat iaitu kira-kira 1.4 kilogram. Selepas manusia, cimpanzi, kuda dan unta mempunyai tempoh menguap yang panjang mengikut turutan. Kuapan terpendek pula adalah milik tikus dan arnab.
Proses penyejukan otak
Andrew Gallup, seorang ahli psikologi dan penyelidik yang bertanggungjawab ke atas kajian ini menerangkan bagaimana menguap membantu menyejukkan otak:
Apabila anda menguap, rahang yang terbuka luas meningkatkan peredaran darah ke tengkorak dengan mengepam darah keluar dari otak.
Pada masa yang sama, menarik nafas dengan dalam memberikan udara segar ke hidung dan rongga oral, sekaligus menyejukkan arteri serebrum melalui proses perolakan.
Kedua-dua proses ini mengeluarkan haba ibarat sebuah radiator yang menyejukkan enjin kereta.
Menguap bukan tanda bosan dan letih
Jadi, kita sebenarnya menguap bukan tanda kita letih atau kebosanan. Secara teknikalnya, jika tubuh dan kawasan tengkorak anda lebih panas daripada biasa, ia akan menguap secara automatik untuk mengeluarkan haba.
Apa yang lebih menarik, menurut Profesor Robert Provine dari University of Maryland, walaupun menguap adalah suatu tabiat biasa manusia seperti bersin dan kentut, ia sering disalahtafsirkan dan sehingga kini masih sukar difahami.
Kita tidak tahu apa sebenarnya punca kita menguap dari segi saintifik. Kalau dari sudut agama tu dah memang ramai yang tahu. Diharap penyelidikan terbaru ini telah memberikan sedikit pencerahan kepada kita semua.
Apa-apa pun, jangan lupa tutup mulut kalau menguap. Nanti syaitan seronok!
Rujukan:
1. BBC
2. Biology Letters
3. The Academic Minute
4. Independent UK