Keterujaan Minum Air Starbucks Jadi Mimpi Ngeri Gadis Bila Sedar Minuman Caramel Frapuccino Yang Dibelinya Itu Mengandungi Gel Silika Yang Pada Awalnya Disangkanya Kacang.
PETALING JAYA: Keterujaan seorang gadis untuk membasahkan tekak setelah penat berjalan-jalan di sebuah pasar raya, Ahad lalu bertukar mimpi ngeri apabila minuman yang dibelinya mengandungi gel silika.
Gadis berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Hanis itu mendakwa, dia berkunjung ke outlet minuman terkenal di IOI Puchong Mall untuk membeli minuman kegemarannya, Caramel Frapuccino.
Ketika dalam perjalanan pulang, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan minuman itu apabila terasa seperti ada cebisan plastik di dalam mulutnya.
Enggan bersangka buruk, Hanis terus pulang ke rumah dan menghabiskan minuman itu sekitar pukul 9 malam.
“Masa tu dah kat rumah, bila habis minum baru saya perasan ada beberapa gel silika dalam minuman.
“Memang saya ada rasa keras masa minum, saya fikir ia kacang yang tak hancur, rupanya ia gel silika,” katanya kepada mStar Online.
Jelas Hanis, dia meminta tambahan badam untuk dikisar bersama minumannya yang dibeli sekitar pukul 7 malam di premis berkenaan.
Kegusarannya bertambah apabila dia mula mengalami loya dan muntah selepas 20 minit menghabiskan minumannya.
Rawatan Susulan
Esoknya, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di klinik sebelum diminta untuk melakukan pemeriksaan lanjut di Hospital Serdang.
“Selain muntah-muntah, perut saya juga rasa tak selesa. Malah, mata saya juga rasa kering. Simptom ni sama dengan apa yang saya rujuk di Internet.
“Jadi saya ambil keputusan untuk merujuk doktor. Tapi syukurlah, setelah beberapa hari, keadaan saya semakin pulih. Dah tak ada muntah-muntah dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, posting mengenai insiden itu yang ditularkan di laman Twitter oleh rakan kakaknya mendapat perhatian ramai sehingga diulang kicau sebanyak 24,000.
Rata-rata pengguna Twitter turut bersimpati dengan apa yang dialami Hanis dan turut menggunakan ruangan itu untuk memberi kata-kata sokongan kepadanya.
Pemerhatian mStar Online di posting berkenaan turut mendapati pihak Starbucks Malaysia telah memohon maaf dan meminta Hanis menghubungi mereka.
Mohon Maaf
Susulan itu, kata Hanis, pihak Starbucks sudah menghubunginya semula dan mengatur pertemuan dengannya pada Selasa.
Hanis yang tidak mahu memanjangkan perkara ini bagaimanapun tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah jika insiden yang menimpanya menjejaskan kesihatannya pada masa akan datang.
Menurut Hanis lagi, dia bercadang untuk membuat pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat kerana tidak mahu berdepan risiko dalam jangka masa panjang.
Sumber: Mstar