Pencuri Tertinggal Handphone Dalam Kereta Mangsa. Apa Mangsa Buat Buatkan Pencuri Tak Senang Duduk. Sudah buat salah, ingat senang-senang boleh melarikan diri? Sama ada cepat atau lambat, si penjenayah pasti akan menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.
Bagi penyamun yang malang ini, balasan segera menimpa diri apabila handphonenya tertinggal di tepi kereta yang dipecah dan mangsa mengambil kesempatan tersebut untuk memalukannya dengan memuat naik status di Facebook pencuri tersebut, lapor Harian Metro.
Status tersebut menulis,
Hi kawan-kawan dan sesiapa yang mengenali saya. Tak lama lagi saya nak meringkuk dalam penjara. Biasalah hidup sebagai seorang penyamun. Kadang makan besar, kadang-kadang makan tak habis.”
Menggigil habis pencuri tu kalau tahu ni!
Menurut mangsa, Shahrizan Yusti, 32, pada hari tersebut dia telah keluar pergi memancing bersama rakannya manakala isterinya pula keluar bersiar-siar dengan meninggalkan rumah kosong tanpa sesiapa.
Pun begitu, dia mula mengetahui akan keadaan pacuan empat rodanya dipecah selepas isterinya pulang pada jam 10 malam dan bapa mertuanya pula menjumpai sebuah telefon bimbit berdekatan dengan kereta tersebut.
“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang. Bapa mentua menghubungi saya dan memberitahu telefon pekerja saya tertinggal, tetapi saya rasakan ia bukan milik pekerja lalu meminta bapa mentua untuk melihat peralatan kerja di dalam kereta.
“Selepas dimaklumkan tiada, saya menjangkakan semua barang itu dicuri dan telefon itu milik pencuri berkenaan. Apabila mendapat tahu telefon itu jenis iPhone, saya membeli pengecas telefon jenis itu kerana dimaklumkan kehabisan bateri,”katanya.
Sebaik tiba di rumah, Shahrizan mengecas telefon bimbit berkenaan dan cuba membuka nombor pin laluan telefon tersebut sebanyak tiga kali sehinggalah berjaya mengetahui identiti pemiliknya pada cubaan yang terakhir.
“Saya hanya mencuba nombor pin empat digit asas yang sering digunakan orang ramai. Cubaan pertama adalah 1234 seterusnya 1111 namun kedua-duanya tidak berjaya.
“Dengan lafaz Bismillah, cubaan ketiga saya dengan nombor 0000 akhirnya berjaya,” kata Shahrizan.
Melalui telefon tersebut, Shahrizan telah berjaya melihat gambar, video serta membaca semua perbincangan pencuri itu bersama rakannya di aplikasi WhatsApp! Kantoi semua!
Menurutnya lagi, pencuri tersebut dan rakannya yang juga penagih dadah sudah lama dikehendaki komuniti taman perumahannya kerana mereka disyaki terlibat dalam kes curi sebelum ini.
“Petunjuk lebih kuat apabila membaca perbincangan mereka dalam aplikasi WhatsApp. Apabila tahu telefon itu milik pencuri, saya menukar kata laluan Facebooknya dan menaikkan status sebelum ia tular,” jelasnya lagi.
Buat masa ini akaun Facebook pencuri tersebut masih di bawah kawalan Shahrizan dan dia berniat untuk memadam status berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak berwajib selepas pencuri tersebut ditangkap.
Malah adik suspek juga sudah tampil untuk bekerjasama dengannya demi mengesan suspek yang sudah tidak pulang ke rumah sejak Ahad lalu.
“Tindakan saya ini juga adalah untuk memberi pengajaran kepada pencuri itu dan rakan-rakannya, tiada niat untuk mengaibkan sesiapa.
“Saya juga tidak sangka ia boleh menjadi tular sehingga tahap ini. Mungkin kejadian ini jarang berlaku dan menarik perhatian umum untuk dikongsikan,”jelasnya.
Akibat daripada kecurian ini, Shahrizan telah dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM2,000 dan beberapa barang yang telah dicuri berjaya dijejaki di sebuah kedai yang disyaki membeli barangan yang dijual suspek tersebut.
Mangsa kini dalam buruan polis dan kes sedang disiasat Balai Polis Gelang Patah.
Elakkanlah daripada buat jenayah. Kan sekarang dah dapat malu. Kesian keluarga dan rakan- rakan yang terkena tempias nya.
keredit: lobakmerah