Pasaraya Diarah Tutup Selama Dua Minggu Selepas Dikunjungi Dua Pesakit COVID-19

JABATAN Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah, Alor Gajah ditutup selama dua minggu mulai malam tadi hingga 17 Mei ini berikutan dua individu didapati positif Covid-19 pernah mengunjungi premis itu, minggu lalu.

Seramai 150 petugas pasar raya berkenaan diarahkan menjalani proses saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah hari ini bagi membantu proses mengenal pasti tahap kesihatan masing-masing.

Sumber berkata, petugas terbabit perlu menjalani proses berkenaan bagi membolehkan jabatan itu mengenal pasti sama ada mereka mempunyai tanda awal dijangkiti wabak berkenaan atau sebaliknya.

Seorang petugas pasar raya itu yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau menjalani proses saringan pada 8.30 pagi hari ini dengan petugas klinik terbabit mengambil contoh air liur, kahak dan air dalam hidungnya.

“Saya sudah menjalani saringan dan harap OK, saya tidak mahu dijangkiti wabak itu,” katanya.

Sumber itu berkata, dalam kejadian 3 Mei lalu, dua individu iaitu lelaki berusia 20 tahun dan wanita berusia 42 tahun yang menghuni pusat pengajian agama yang turut menyediakan kelas tahfiz al-Quran di Solok Duku, Masjid Tanah, disahkan positif Covid-19.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan negeri membawa mereka menjalani pengasingan dan rawatan di Hospital Melaka.

Seramai 86 penghuni pusat berkenaan dibawa ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CReATE) Jabatan Kerja Raya di Alor Gajah bagi menjalani proses kuarantin berpusat.

Seramai 19 lagi penghuni pusat berkenaan menjalani proses kuarantin dalam pusat itu dengan enam daripada mereka perempuan dewasa, selain kanak-kanak perempuan (tiga) dan kanak-kanak lelaki (10).

Sementara itu, seorang lelaki yang membuat hantaran dalam laman sosial Facebook mendakwa, remaja lelaki dan wanita terbabit bukan pelajar, sebaliknya anggota keluarga seorang daripada penghuni pusat berkenaan.

Lelaki itu mendakwa, mereka tidak ada kontak dengan mana-mana kluster yang ada kaitan dengan Covid-19.

Sementara itu, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman yang dihubungi enggan mengulas lanjut.

“Minta maaf, saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan sama ada nama pondok atau pasar raya berkenaan atau mereka yang positif Covid-19 dalam hal ini,” katanya. – Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *