Durian Runtuh, Ikan Tapah 40kg!

Ikan tapah seberat 40 kilogram (kg) menjadi rezeki Ramadan Azran Abdul Sani selepas menahan tajur di Sungai Tembeling kelmarin.

Azran yang bekerja sendiri di Kampung Pagi di sini meletakkan 11 batang tajur yang diikat pada dahan pokok dengan menggunakan umpan anak ikan kerai sebelum kembali semula selepas Subuh semalam.

Menurutnya, lima tahun lalu, dia pernah menaikkan ikan jenis sama seberat 31kg dengan menggunakan peralatan sama.

“Saya meletakkan beberapa batang tajur kelmarin dan tidak menyangka ada dua ekor ikan seberat 40kg dan 8.6kg,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azran anggap rezeki Ramadan selepas dua ikan tapah berjaya dinaikkan. Tambahnya, ikan terbabit telah habis dijual pada harga RM45 sekilogram.

Bagaimanapun katanya, peraih biasanya membeli harga ikan itu sehingga RM60 sekilogram tetapi beliau terpaksa menjual sendiri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Azran bersyukur kerana ikan tapah itu menjadi rezeki tambahan kepada keluarganya ketika umat Islam menyambut Ramadan dan PKP.

Jelasnya, sepanjang Januari hingga kini, dia sudah menaikkan ikan tapah sebanyak lima kali.

“Ikan ini mudah dapat apabila musim air pasang kerana ia akan keluar mencari makanan,” ujarnya. – Sinar Harian

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *