Majlis Kahwin Kecoh Bila Pengantin Lelaki Tinggalkan Pelamin Dan Memeluk Bekas Kekasihnya Yang Muncul Tiba-Tiba.
SATU majlis perkahwinan di Kabupaten Wajo, Sulawesi Selatan, kecoh apabila pengantin lelaki meninggalkan pelamin, memeluk bekas kekasihnya yang tiba-tiba muncul dan menyanyikan lagu mencurahkan rasa kecewanya, Rabu lalu.
Ketika kejadian, pengantin lelaki, Nokis, sedang bersanding dengan isterinya selepas akad nikah apabila bekas kekasihnya, Novi, yang datang dari sejauh Jambi, muncul menyanyikan lagu bertajuk Balo Lipa.
Menurut pengunjung, wajah Nokis berubah sebelum turun dari pelamin menghampiri Novi, mengambil pembesar suara dari tangan Novi dan memeluk bekas kekasihnya itu.
Nokis kemudian terhuyung-hayang sebelum jatuh pengsan ke atas kerusi.
Video kejadian itu yang disiarkan di media sosial menjadi tular dan sudah dikongsi 28,000 kali selepas disiarkan di Facebook oleh Sukma Henny.
Menurut potral berita Tribun News yang memetik Tribun Timur, ustaz Muhammad Erfin Beddu yang membacakan khutbah nikah di majlis itu berkata dia diberitahu keluarga Nokis, wanita berkenaan adalah bekas kekasihnya.
Menurutnya, dia diberitahu Nokis pernah meminang Novi namun ditolak keluarga wanita itu selepas Nokis tidak bersetuju dengan ‘wang panaik’ atau hantaran yang diminta.
Bagi masyarakat Bugis, selain mas kahwin, pihak lelaki juga perlu memberi wang panaik yang jumlahnya bergantung kepada status serta tahap pendidikan wanita dipinang.
Kecewa pinangan ditolak, Nokis berkahwin dengan isterinya yang baru dua bulan dikenalinya.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan apa yang terjadi antara Nokis dan isterinya serta Novi.
Antara lirik lagu Balo Lipa:
“Lemmusa nyamu andi
musolangi atikku
engka mu tudang botting
riolo mattakku”
Terjemahan:
“betapa tega dirimu, adinda
kau hancurkan hatiku
kau duduk bersanding
di depan mataku”
Pada tahun lepas, media sosial juga pernah kecoh dengan keadaan yang seakan-akan sama seperti ini cuma ketika itubukan pengantin lelaki sebaliknya pengantin perempuan yang memeluk bekas kekasihnya ketika majlis perkahwinan sambil menangis.