Ibu Hampir Pengsan Saksikan Anak Kecilnya Didera Jururawat Yang Dibayarnya Mahal Melalui Rakaman CCTV. Seorang ibu terpaksa menyaksikan anaknya yang tidak berdaya didera oleh seorang jururawat yang sepatutnya menjaganya, lapor Daily Mail.
Ibu mangsa, Dyanna Ko, yang keluar rumah seketika itu berkesempatan untuk memeriksa keadaan anak, Landon, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh ditonton secara terus di telefon bimbitnya.
Landon menghidap sindrom Rubinstein-Taybi yang mana menyebabkan dia terpaksa makan melalui tiub, buta sebelah mata dan memerlukan penjagaan khas 24 jam.
Sebaik saja membuka aplikasi CCTV itu, Dyanna ternampak jururawat yang dibayarnya ratusan dollar setiap minggu, tergamak memukul dan mengoncang anaknya dalam tempat duduk bayi.
“Saya beritahu rakan saya yang saya ternampak anak saya didera. Saya rasa nak pengsan,” katanya kepada CBS Los Angeles.
Dalam video tersebut, jururawat terbabit dilihat mengulung majalah dan digunakan untuk memukul Landon.
Apa yang lebih teruknya ialah, Dyanna menyaksikan sendiri kejadian itu secara langsung di depan matanya tanpa dapat melakukan apa-apa untuk menghalang jururawat berkenaan.
Berikutan kejadian itu, Dyanna dan suaminya segera menghubungi 911 yang kemudian sepasukan polis bergegas ke rumahnya untuk menyelamatkan mangsa dan menahan jururawat terbabit.
Thelma Manalastas yang bekerja dengan Maxim Healthcare Services yang menyediakan perkhidmatan penjagaan dalam rumah itu ditahan serta merta.
“Berhubung insiden berkenaan, siasatan telah dijalankan dan hasilnya kami telah menamatkan perkhidmatan kakitangan berkenaan. Pihak kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian ini,” kata syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa tidak berpuas hati dengan penjelasan dan tindakan syarikat tersebut dan telah memfailkan saman terhadap syarikat itu.