‘Dik, Bayar Untuk Mereka Sekali’. Pagi ini, saya pergi potong rambut. Tukang guntingnya berasal dari India dan berusia agak muda. Bayaran sebenar hanya RM12, tetapi hari ini saya bayar dia RM32 termasuk RM20 sebagai tip untuknya.
Dia agak terkejut, lalu saya memberitahunya, “this one you keep,” dan saya kata terima kasih kepadanya kerana mengunting rambut sebelum bergerak pulang ke rumah.
Semasa dia memotong rambut saya, tiba-tiba saya terfikir, berapalah sangat gaji dia dan berapa banyak duit yang dia hantar pulang ke kampungnya dengan kadar mata wang negara kita pada waktu ini? Dia ada isteri dan anak tak di negara sendiri? Dia dah bersarapan ke belum? Berapa nilai RM20 pada dia?
Baru tadi pula, saya makan tengah hari agak lewat di gerai kawasan Bukit Bintang ini. Saya ternampak dua anggota tentera dan dua anggota polis sedang makan bersama-sama dengan senjata di tangan.
Saya buka dompet dan tengok hanya ada RM20 sahaja. Saya beritahu pelayan yang saya nak pergi ke bank bersebelahan kedai sebentar untuk mengambil wang.
Balik dari bank, saya lihat mereka masih berada di situ.
“Dik, abang-abang polis dan tentera itu, mereka dah bayar ke belum?” soal saya pada pelayan gerai.
“Belum lagi bang,” balasnya
Lalu saya menyuruhnya kirakan sekali harga makanan saya dengan harga makanan mereka kerana saya mahu membayar untuk mereka. Lagipun, berapalah sangat harga makanan yang mereka makan. Total hanya RM30 untuk mereka berempat.
Setakat RM30 itu, cukup ke untuk kerja yang mereka lakukan yang melindungi nyawa orang lain dan bahayakan nyawa diri sendiri? Boleh ke duit itu membeli nyawa mereka kalau mereka mati? Jadi apa maksud RM20 atau RM30 itu untuk saya? Ia hanya satu nilai di atas sekeping kertas.
Sudah 31 tahun saya hidup dan katakan tiba-tiba kalau saya mati esok, kertas itu tidak akan bagi apa-apa manfaat pada saya. Saya mengaku saya tidaklah berduit sangat tetapi apa yang menghalang saya dari memberi? Apa yang membuatkan kita berfikir dengan hanya membuat duit, simpan dan kumpul bertan-tan duit dan selepas itu digunakan untuk diri sendiri akan membuatkan kita bahagia?
Duit itu boleh menjamin hidup kita kekal ke? Sudah tentu tidak! Kalau hari ini saya tidak menghabiskan RM50 ini untuk orang lain, saya mungkin tengah minum di pub dan enjoy. Mungkin pergi beli baju berjenama yang baru, makan malam di Tony Roma’s ke, minum di Starbucks ke, paling tidak pun isi minyak kereta sampai penuh.
Tetapi cuba fikirkan betul-betul, itu saja ke yang penting dalam hidup kita? Hidup ini hanya tentang diri kita sahaja ke? Bukan ke kita semua ini manusia dan hidup untuk matlamat yang sama? Jadi kenapa nak kedekut sangat?
Hari ini, RM50 yang saya keluarkan tidak membuatkan saya hilang senyuman, rasa lapar atau sedih. Saya juga tidak menyesal dan pastinya saya tidak akan jatuh miskin. Apa yang saya hilang, saya sentiasa boleh dapat semula.
Perkara ini membuatkan saya sedar tentang apa yang kita ada hanyalah satu nilai di atas kertas. Tetapi kalau kita letakkan nilai kertas ini pada diri kita sendiri, barulah hidup ini benar-benar berbaloi. Hidup ini bernilai, hanya kalau kita ada nilai.
Di akhir hayat, semua yang kita ada adalah semua yang kita pernah berikan.
Kredit: Jagdish Singh