Walaupun Dirinya Dihina Naik Motor Buruk Dengan Ibu, Jawapan Balas Pemuda Ini Meruntun Kalbu. Bukan semua daripada kita bertuah dilahirkan dalam keluarga serba cukup. Namun, situasi yang terjadi baru-baru ini ketika seorang pemuda dihina apabila membawa ibunya menaiki motor buruk untuk ke sebuah supermarket benar-benar menyentuh perasaan.
Bermula dengan ketidak puasan hati seorang gadis yang dikenali sebagai Sarah Coco apabila terlanggar troli yang dibawa oleh seorang pemuda yang datang bersama ibunya untuk membeli-belah di sebuah pasaraya.
Sarah Coco bertindak menulis rasa tidak puas hati itu di akaun WeChat miliknya menghina pemuda itu yang gagal memberikan kemewahan kepada ibunya.
Tulisnya: “Ini aku nak beritahu sikit, kalau tak ada kereta tu, buat cara tak ada kereta, tak payah nak eksyen sangat belanja di supermarket bawa troli, ambil barang macam datang bawa van. Padahal bawa motosikal saja.
“Kemudian bila nak balik, sumbat barang dalam beg galas penuh, di bakul sumbat penuh dan bonceng di belakang macam beruk. Buat malu orang yang datang supermarket saja bawa motosikal buruk. Belanja acah-acah berkereta.
“Aku rasa perempuan itu mak dia agaknya sebab perempuan itu nampak tua. Kesiannya mak dia dapat anak tak berguna dan tak mampu bawa dia pergi belanja naik kereta. Hahaha! Ops!”
Bagaimanapun, pemuda yang dikenali sebagai Mohd Nashiruddin Mokhtar terbaca tulisan Sarah Coco setelah ditularkan oleh netizen lantas membalas kenyataan itu di Facebook dengan ayat yang mencengkam jiwa.
“Kepada Sarah Coco atau sesiapa yang mengenali Sarah Coco itu, tolong sampaikan apa yang saya nak pesan. Berkenaan post dia di WeChat, saya tahu dia maksudkan saya sebab tadi di shop mall, kami ada berselisih faham terlanggar troli saja ceritanya.
“Saya masih cam lagi muka dia tetapi tidak sangka sampai dia buat pos begitu. Memang itu ibu saya, orang yang saya paling sayang dan awak dah silap.
“Ibu saya tak pernah pun rasa menyesal dan tak pernah pun anggap saya anak tak guna kerana tidak mampu berikan dia kemudahan.
“Memang saya orang miskin, tak mampu untuk beli kereta dan saya kerja seabgai pengawal keselamatan sahaja. Tetapi Alhamdulillah bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Masih mampu untuk meneruskan kehidupan. Masih mampu menunaikan hajat ibu untuk ke Mekah.
“Biar diri terasa susah asal dapat penuhi impiannya. Tak apa Sarah Coco, saya maafkan awak. Setiap manusia tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Kami sudah biasa dihina dan dikeji tetapi kami tetap kena kuat kerana ini diri kami dan ini hidup kami.”
Jiwa besar yang dimiliki Nashiruddin dipuji rata-rata netizen yang mengikuti perkembangan kisah mereka.
Roda itu bulat, begitu juga nasib manusia. Janganlah kita menghina orang lain sampai lupa putaran roda itu.
Kami di Astro Gempak menyeru anda untuk sentiasa menghargai individu di sekeliling terutama ibu anda. Sebarkan kata-kata indah!
Source: sayaphitam