Budak Lelaki Dihanyutkan Arus Deras Sejauh 200 Meter Sebelum Diselamatkan Peniaga Wanita

Seorang budak lelaki nyaris lemas apabila dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Damar, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd Fikri Ramadan, 12, yang terkapai-kapai dihanyutkan arus deras dalam longkang sejauh 200 meter itu sempat diselamatkan seorang peniaga wanita.

Kejadian berlaku pada 9 malam ketika hujan lebat apabila mangsa tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang itu.

Abang mangsa, Mohd Fakrul, 13, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama ibu, Rusila Ab Hamid, 35, dan seorang lagi adik bongsu.

Menurutnya, Mohd Fikri dan seorang lagi adik, Mohd Faris, 9, keluar dari rumah untuk melihat air dalam longkang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas seorang peniaga wanita yang menyelamat adik menghantarnya ke rumah dalam keadaan luka kecil di siku dan badan.

Mohd Fikri

“Saya pun tak tahu dia bersama Mohd Faris bermain di tepi longkang itu kerana sebelum ini saya kerap melarang mereka keluar dari rumah.

“Nasib baik ada orang yang selamatkan, dia jika tidak akan terus dibawa arus deras dalam longkang itu ke anak sungai berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sementara itu, peniaga wanita terbabit, Nik Zarah Nik Li, 33, berkata, dia terjun ke dalam longkang untuk menyelamat mangsa selepas terdengar suara adik mangsa meminta tolong.

Menurutnya, apabila keluar dari kedai, dia ternampak mangsa terkapai-kapai dihanyutkan arus deras dalam longkang terbabit.

“Saya terus terjun ke dalam longkang sedalam 1 meter itu dan mendakap badan mangsa bagi pertahankan daripada terus hanyut.

“Dalam keadaan itu, saya turut dihanyutkan bersama mangsa sejauh 30 meter dan hampir jatuh ke dalam anak sungai, tetapi saya bernasib sempat berpegang pada akar kayu,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui turut cedera di kedua-dua paha kerana bergesel dengan konkrit longkang ketika dihanyutkan arus deras itu.

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *