Anak Memukul Muka Ibu Kandung Guna Kunci Mangga Sebab Tak Benarkan Teman Lelaki Masuk Rumah

GEORGE TOWN – Seorang anak perempuan berusia 21 tahun diberkas selepas dipercayai tergamak memukul muka ibu kandungnya menggunakan kunci mangga gara-gara tidak dibenarkan membawa teman lelaki masuk ke rumah mereka di Relau Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 8 malam dan dipercayai bermula apabila suspek pulang ke rumah bersama teman lelakinya yang mahu masuk ke dalam rumah.

“Namun mangsa yang juga pengawal keselamatan berusia 48 tahun itu tidak mengizinkan suspek berbuat demikian dan pertengkaran mulut telah berlaku antara kedua-dua pihak.

“Keadaan menjadi semakin tegang apabila suspek dipercayai telah memukul muka mangsa menggunakan kunci mangga sehingga tercedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Anuar, hasil siasatan terhadap suspek yang juga penganggur itu tidak mengaku telah memukul ibunya dan ditempatkan di lokap Balai Polis Datuk Keramat sebelum mendapat perintah reman.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan Seksyen 18(a) Akta Keganasan Rumahtangga 1994. K! ONLINE

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *