Aliff Aziz: Penjelasan Afifah Nasir Tak Masuk Akal

KUALA LUMPUR: Kontroversi dua pelakon drama Izinkan Aku Mencintaimu yang masih dalam pembikinan terus hangat apabila Aliff Aziz mendakwa teman gandingannya, Afifah Nasir ‘mengarut’ ketika memberi penjelasan pada sidang akhbarnya, semalam.Aliff Aziz: Penjelasan Afifah Nasir Tak Masuk Akal Aliff mempersoalkan tindakan Afifah membabitkan syarikat produksi dalam kontroversi itu terutama dakwaan kononnya Afifah diminta ‘bermanja’ dengannya bagi membangkitkan mood ketika penggambaran, selain melayan kerenah Aliff yang lambat serta tidak datang ke set bagi melunaskan baki kerja lakonan.

“Afifah ada menyebut dirinya menjadi mangsa keadaan apabila pihak produksi menyuruhnya melayan kerenah dan bermanja dengan saya. Dia cakap ini dapat beri mood dan saya akan datang ke lokasi penggambaran untuk melunaskan baki penggambaran.

“Jika betul apa yang dikatakan itu, saya mahu bertanya, berapa usia Afifah hingga tak boleh tentukan apa yang betul atau salah. Dia bukan belasan tahun hingga perlu mengikut telunjuk orang dengan alasan kononnya nak membantu produksi melunaskan penggambaran dengan segera.

“Usia saya 26 tahun dan Afifah sudah 24 tahun… Beza usia kami hanya dua tahun. Sejauh mana dia boleh berkorban jika benar dakwaan pihak produksi meminta dia buat begitu dan begini untuk saya?” katanya kepada BH Online.

Aliff menambah, Afifah boleh menolak jika tidak mahu melakukan apa yang disuruh pihak produksi.

“Jangan guna alasan kononnya masih baru dalam dunia seni. Bukan dia tak dibayar untuk berlakon. Dia ada hak menolak perkara yang bertentangan dengan kemahuan dirinya,” katanya.

Aliff berkata, secara logik, jika dirinya bermasalah, mengapa pihak produksi tidak mengambil sebarang tindakan.

“Saya tak perlu nak selamatkan diri dengan membabitkan orang lain. Saya sendiri mengaku silap sebelum ini dan meminta maaf kepada isteri, keluarga, peminat dan semua pihak atas khilaf yang dilakukan.

“Saya fikir Afifah akan matang berdepan hal ini. Saya dan dia tahu perkara sebenar seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini.

“Apabila saya teliti semula kenyataan Afifah semalam, memang ada yang tak masuk akal. Apa yang terjadi adalah hal peribadi, tak perlu babitkan produksi yang beri rezeki. Jangan nak tegakkan benang yang basah,” katanya.

Tambah Aliff, sejak mula berlakon, dia tidak pernah berdepan isu besar misalnya, tidak datang ke set hanya kerana teman gandingan menimbulkan masalah.

“Malah jika saya bermasalah tak datang set sehingga lapan hari atau lambat sekalipun, pihak produksi boleh hubungi saya. Mereka boleh saman dan bertindak jika saya tak melunaskan komitmen yang sudah dipersetujui,” katanya.

Mengenai permohonan maaf Afifah kepada isterinya, Bella Astillah kerana membiarkan tangannya dipegang ketika mereka berada di pusat karaoke, Aliff mempersoalkan motif Afifah.

“Dia (Afifah) patungkah hingga membiarkan tangannya dipegang saya? Bukan dia tak boleh menepis atau menolak tangan saya.

“Malah Afifah ada menerima kiriman WhatsApp daripada isteri saya pada sebelah pagi sebelum insiden kantoi di pusat karaoke itu. Namun, Afifah pergi juga pusat karaoke terbabit.

“Saya terima hukuman ‘cash’ kerana perkara itu diketahui isteri hingga kantoi pada petang sama. Sedangkan Afifah terus berdolak dalik hingga membabitkan seorang lagi pelakon iaitu Allana Amir yang kononnya akan turut bersama kami di pusat hiburan itu,” katanya.

Aliff turut mempersoalkan bukti rakaman perbualan kakak Afifah iaitu Anzalna dengan individu yang didakwa bekerja dengan syarikat produksi drama berkenaan.

“Saya fikir siapa saja boleh ‘berlakon’ menjadi pekerja produksi itu hingga rakaman diperdengarkan kepada wartawan tetapi tidak boleh dirakam semula oleh media atas alasan bimbang kenyataan disalah guna dan menjejaskan reputasi.

“Kalau rasa betul kenapa tak didedahkan saja identiti individu yang dimaksudkan.

“Afifah juga ada bangkitkan soal perundangan dan dia ada bukti yang kukuh jika apa-apa terjadi. Saya juga boleh berbuat demikian kerana sudah berunding soal itu,” katanya.

Aliff turut mempersoalkan bagaimana Allana sebagai pelakon yang baru dikenali Afifah, boleh tampil memberi penjelasan pada sidang akhbar semalam.

“Apa masalah Allana sebenarnya? Bukan dia ada setiap hari di set penggambaran pun. Apa yang dia cuba lakukan saya kurang pasti atau mungkin cuba mengambil kesempatan untuk jadi popular dengan kontroversi ini,” katanya.

source: bharian

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *