Aku Pergi ‘Reunion’ Sengaja Pakai Selekeh Dan Memandu Kereta Buruk

Sengaja Aku Pergi ‘Reunion’ Pakai Selekeh Dan Guna Kereta Buruk. Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat mengajak saya untuk menemaninya ke kedai ‘spare parts’. Saya dengan rela menemaninya. Kami ke bandar Klang.

Usai membeli barangan dikehendaki, dia mengajak saya menemaninya ke majlis ‘reunion’ rakan sekolah rendahnya. sudah tentu saya keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di situ dan saya juga berpakaian agak selekeh. Dia mendesak dan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji hanya sekejap sahaja.

Di restoran berhawa dingin itu, beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. Di luar terdapat deretan kereta-kereta mewah.

Di majlis reunion, Dia masuk berjumpa mereka dan bertegur sapa. Rata-rata mereka sudah tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka sudah puluhan tahun. Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya.

Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.

Gambar Hiasan

Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. Memang ada anak-anak gadis di situ, tetapi saya bukanlah seorang yang mata keranjang. Lagipun mereka juga hanya memandang saya sebelah mata lantaran pakaian saya yang sangat selekeh iaitu berbaju T, ‘cargo pants’ dan bersandal.

Gadis-gadis moden ini lebih tertarik dengan gajet dan lelaki yang agresif berbanding saya yang pemalu dan hanya bermain ‘game’ ular di dalam ‘handphone’ 3310 saya.

Saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. ada kelompok guru, ‘businessman’, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai. Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut.

“Woi, kau pakai kereta apa sekarang?”

Saya yang mendengar turut terasa jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan ‘show off’ kereta. Lagi memualkan ada sahabatnya yang terang-terang bercerita perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara.

Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ‘ada-ada’. Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang.

Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. Rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi.

Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori hingga ke kereta. Mereka masih berbual-bual kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa. Mereka bukan calang-calang orang, salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi adalah ahli perniagaan. Mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian.

Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi masing-masing. Di dalam kereta, saya bertanya sahabat saya itu kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya. Dia mempunyai kereta BMW, Merc, Honda, Toyota Hilux dan beberapa kereta lagi, tetapi Wira buruk ini juga dibawanya.

Katanya, “Memang saya sengaja. Saya nak tengok rupa sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. Jadi, akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua orang sahaja sahabat yang masih anggap saya sahabat karib mereka. Sahabat tanpa syarat.”

Saya diam dan termenung sendiri. Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri. Kita mampu memiliki dan menggantikan kesemuanya itu pada bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan kita.

Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan. Namun, jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa.

Adakah diri anda semua bersahabat tanpa syarat sehingga kini dan tidak memilih?

Terima kasih kerana sudi membaca.

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *