Zahid Hamidi Umumkan UMNO Tidak Menyertai Perikatan Nasional (PN)

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan parti itu sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, parti Melayu terbesar itu memilih untuk memperkasakan gagasan Muafakat Nasional (MN) bersama dengan Pas dan kepimpinan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

“Sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Hasrat Bersatu ini akan diperbincangkan dengan pihak Pas untuk diperhalusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan UMNO dan Pas memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *