Wartawan TV3 Menyanyi Lagu Raya Ketika Liputan Langsung Jadi Viral, Turut Dikritik

Wartawan TV3 Menyanyi Lagu Raya Ketika Liputan Langsung Jadi Viral, Turut Dikritik. Aksi seorang wartawan TV3 iaitu Amirulhakim Lokman berjaya mencuri tumpuan penonton apabila gaya penyampaian yang santai menjadi tular di media sosial dan tak kurang juga dikritik.

Amirulhakim yang melaporkan tinjauan orang ramai pulang ke kampung halaman dari Terminal Bersepadu Selatan untuk Buletin 1.30 pada Sabtu itu sambil menyanyi lagu Indahnya Beraya Di Desa nyanyian asal Azlina Aziz heboh dikongsi di Twitter sejak petang Sabtu.

Seorang pengguna @ezhar_ehsan sempat merakam aksi tersebut dan memuat naik di laman sosial miliknya sambil bertanya sama ada wartawan tersebut berada dalam keadaan baik atau tidak.

“Wartawan TV3, kau OK tak bro?” tulisnya.

Status tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen dengan lebih 8,000 perkongsian dan 5,000 tanda suka.

Rata-rata netizen mengakui terhibur dengan gaya santai itu dan menganggap ia sebagai cara dan pendekatan baharu daripada stesen tersebut ketika membuat laporan langsung.

Sementara itu, Amirulhakim menerusi Twitter miliknya turut mengucapkan terima kasih terhadap komen positif penonton.

“Saya okay sahaja bro @ezhar_ehsan , terima kasih. Alhamdulillah, dapat juga saya hiburkan penonton dengan suasana gembira perantau pulang untuk menyambut lebaran yang saya selitkan dengan laporan berita berkonsepkan santai dan padat dengan informasi semasa,” tulisnya.

Aksi itu turut dipersoalkan bekas penyampai berita TV3.

Bagaimanapun, cara tersebut dipersoalkan bekas penyampai berita TV3 iaitu Saiful Nizam Ismail yang menganggap ia sebagai pelik dan kurang sesuai.

“Wartawan sekarang sudah boleh sertakan nyanyian dalam stand upper. Tak tau nak suka atau rasa pelik,” tulisnya di Instagram.

Sementara itu Amirulhakim berkata, penyampaian tersebut dilakukan bersesuaian dengan konsep dan suasana pulang beraya.

Tambahnya, Saiful Nizam sewajarnya memberi teguran secara peribadi berbanding terbuka di media sosial.

“Dia kurang faham dengan pengisian laporan serta konsep yang saya bawakan. Santai, padat dan bersahaja dengan suasana kemeriahan pulang beraya.

“Jika dia bertindak secara pro dan bijak, dia seharusnya tegur saya secara peribadi, bukan mengaibkan. Semoga dia dirahmati, Amin,” ujarnya.

VIDEO PENUH:

Sumber: mstar

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *