Tindakan Mangsa Samun Beli Balik Kamera Yang Dicuri Buatkan Para Penyamun Terperangkap Dan Ketakutan

Tindakan Mangsa Samun Beli Balik Kamera Yang Dicuri Buatkan Para Penyamun Terperangkap Dan Ketakutan. Tindakan tiga lelaki menjual barangan hasil samun di laman web membawa padah apabila dia ditahan oleh mangsa sendiri ketika melakukan transaksi jual beli barang berkenaan di Bukit Dukung, Kajang.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, suspek berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun itu ditahan oleh orang awam termasuk mangsa, Muhammad Affan Fauzi, 21, selepas cuba menjual kamera miliknya yang juga jurugambar portal.

Menurut Muhammad Affan, dia menerima maklumat daripada rakannya berhubung penjualan kamera SLR Nikon D800 dipercayai miliknya oleh lelaki di laman web jual beli sejak beberapa hari lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, dia cuba menghubungi suspek dengan menyamar sebagai pembeli bagi mengetahui sama ada kamera yang dijual berkenaan adalah miliknya atau sebaliknya.

“Saya agak yakin bahawa kamera yang dijual itu adalah milik saya berdasarkan corak tali dan kesan calar sebelum saya membuat keputusan untuk memasang perangkap terhadap lelaki berkenaan dengan menyamar sebagai pembeli.

“Sepanjang tempoh urusan jual beli itu dilakukan, dia menawarkan harga murah sehingga RM3,500 dan bersetuju untuk menjual kamera berkenaan sebelum kami membuat pertemuan di Bukit Dukung,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Affan kerugian lebih RM15,000 selepas disamun lelaki ketika memberhentikan motosikalnya di bahu jalan di Lebuh Silikon, Serdang, Ahad lalu.

Suspek yang kononnya mahu menolong mangsa melarikan begnya yang mengandungi kamera, telefon bimbit, komputer riba dan dompet bersama dokumen pengenalan diri serta sejumlah wang tunai.

Muhammad Affan berkata, ketika pertemuan itu, mereka membenarkan saya membuat pemeriksaan nombor siri pada kamera terbabit.

“Pemeriksaan itu mendapati nombor siri kamera berkenaan adalah sama dengan kamera saya selain memiliki corak tali dan kesan calar yang sama.

“Sebaik saya memaklumkan bahawa itu adalah kamera saya, mereka cuba melarikan diri. Bagaimanapun, dia berjaya ditahan oleh orang awam termasuk beberapa rakan saya yang turut berada di lokasi kejadian.

“Pergelutan yang berlaku menyebabkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka,” katanya.

Katanya, semua suspek terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

“Saya membuat laporan polis di IPD Kajang dan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa pihaknya akan membawa ketiga-tiga elaki berkenaan ke IPD Sepang memandangkan kes samun Ahad lalu berlaku di kawasan Sepang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Fadzil Ahmat berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di stesen minyak di Bukit Dukung.

“Kami turut merampas tiga telefon bimbit dan kamera daripada suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: hmetro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *