Suri Rumah Dipenjara 4 Bulan, Curi Jam Bernilai RM1,740

AKIBAT mencuri tiga utas jam tangan bernilai RM1,740 milik lelaki warga India, seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap S Astear, 34, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Titiwangsa Sentral Kondominium, Jalan Cemur antara 2 pagi hingga 6.30 pagi, 1 Ogos lalu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam Tan Ke Ten yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan dan suami bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zuraidi Zulkifli memohon hukuman setimpal kerana tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Mengikut fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh melalui laman sosial ‘Tinderdating’ pada 27 Julai lalu.

Tertuduh datang ke rumah mangsa dan ketika berada di kediaman itu, tertuduh memberikan segelas air kepada lelaki itu sehingga tertidur dan selepas bangun dari tidur mangsa menyedari telah kehilangan jam tangan lalu membuat laporan polis.

– Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *