Pencuri Kebas Empat Tayar Kereta Dalam Masa Kurang 2 Minit Sahaja!

Pencuri Kebas Empat Tayar Kereta Dalam Masa Kurang 2 Minit Sahaja! Memiliki kereta baharu atau aksesori kereta yang cantik memberi risiko kepada si pemilik untuk menjadi sasaran kepada aktiviti kecurian, maka keselamatan kenderaan perlu sentiasa diutamakan.

Malang bagi seorang pemilik kereta jenis Honda City apabila kereta yang baharu sehari dibelinya telah dikebas keempat-empat tayar di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Menurut pengguna Facebook bernama Eddy Teh Wei Soon, dalam kejadian pada 1 Jun lalu, rakan dia yang enggan didedahkan identiti telah memarkir kereta di kawasan parkir berdekatan pejabat sebelum menyedari tayar dan rim keretanya telah dicuri pada siang hari.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan meletakkan kenderaan bersebelahan dengan kereta mangsa sebelum berpura-pura menukar tayar yang bocor, bagi tujuan mengaburi pandangan orang awam terhadap kegiatan tersebut.

Lebih mengejutkan, Wei Soon berkata suspek hanya mengambil masa kurang daripada seminit untuk mencabut keempat-empat tayar kereta milik mangsa – menggambarkan betapa pencuri itu memiliki kepakaran yang tinggi dalam menjalankan kegiatan haram itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi lebih satu minit turut dimuat naik di laman Facebook, memaparkan kelibat suspek lelaki dipercayai menaiki sebuah kenderaan yang diparkir di hadapan kenderaan mangsa, secara bersahaja mencabut tayar kereta jenis Honda City itu.

Berdasarkan rakaman, kejadian berlaku sekitar jam 3.32 petang dan kereta mangsa diparkir di kawasan terbuka serta dapat dilihat di dalam video bahawa lokasi kejadian tidak sunyi kerana terdapat kenderaan lain dan orang awam berdekatan kawasan tersebut.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut atau tidak, dan anggaran kerugian juga tidak dimaklumkan.

Susulan itu, Wei Soon menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati dan memarkir kenderaan di kawasan yang senang dilihat serta mempunyai sistem keselamatan yang baik.

“Sekiranya anda menyaksikan aktiviti yang mencurigakan, sila hubungi polis dengan segera. Lakukan tugas anda untuk membendung kegiatan jenayah,” katanya.

Sumber: Malaysia Digest

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *