NINGBO : Tidak sampai sejam selepas pameran bongkah permainan LEGO bermula, sebuah patung yang dibina sepenuhnya daripada kepingan Patung LEGO tumbang dan hancur selepas ditolak seorang kanak-kanak.
Insiden tersebut dikongsi oleh pembina patung, Zhao, di laman sosial China Weibo.
Menurut CCTV News, Zhao telah menerima permohonan maaf daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut yang dipercayai berusia sekitar empat hingga lima tahun.
Zhao tidak meminta sebarang ganti rugi daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut
“Kanak-kanak itu tidak berniat untuk memusnahkannya,” ujar Zhao.
Media tempatan turut melaporkan perdebatan hangat dalam kalangan netizen di China mengenai tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak selepas gambar yang dikongsi Zhao viral.
Netizen kebanyakan menyalahkan ibu bapa yang enggan bertanggungjawab dan permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi.
Kisah Zhao turut viral memandangkan insiden yang hampir serupa telah berlaku 17 Mei lalu di Muzium Kaca Shanghai.
Dua orang kanak-kanak lelaki telah memusnahkan salah satu arca kaca yang dipamerkan di muzium tersebut.
Rakaman video litar tertutup muzium mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut berada di tempat kejadian namun tidak melarang sebaliknya merakam perbuatan anak-anak mereka dengan telefon pintar.
source: astroawani