Saya Jual Anak Sebab ‘Terlalu Ramai’ – Luah Wanita Berusia 31 Tahun

Saya Jual Anak Sebab ‘Terlalu Ramai’ – Luah Wanita Berusia 31 Tahun.

Seorang suri rumah berusia 31 tahun ditahan di bandar Palembang, Sumatera Selatan, kerana didakwa menjual anak perempuannya berusia tiga bulan pada harga IDR20 juta (RM6,300).

“Saya menjualnya kerana saya ada ramai anak, pendapatan suami saya tak menentu kerana dia bekerja sebagai buruh dan saya bimbang tak dapat membesarkannya dengan sempurna,” kata wanita itu, yang dikenali sebagai Fatima kepada Detik.

Bayi yang dijual itu adalah anak kelima Fatima dan dia tidak menyesal kerana percaya individu yang membeli anaknya adalah orang yang baik tetapi terdesak untuk mencari anak angkat.

Katanya, harga yang diletakkan itu meliputi kos kelahiran dan untuk kehidupan keluarganya.

Jelasnya, seorang jiran telah membantu mengatur penjualan dan telah diberikan tambahan IDR1 juta (RM295) daripada pembeli, tetapi tidak mengaku terbabit dalam kes ini.

Walaupun dia mendakwa keluarganya mempunyai masalah kewangan, polis berkata terdapat bukti bahawa wang yang diterima daripada penjualan anaknya itu telah digunakan untuk membeli syabu, pakaian dan kasut.

Kisah ini terbongkar apabila suami Fatima membuat laporan polis selepas isterinya hilang selama sebulan dan kembali tanpa anak perempuan mereka.

Polis berjaya mengesan pembeli, yang dikenali sebagai MS, di Banten bersama dengan bayi tersebut yang selamat dikembalikan kepada keluarganya.

MS mendakwa kepada polis bahawa Fatima telah berbohong tentang statusnya, menyatakan dia tidak mempunyai suami dan tidak dapat menyara bayi itu.

Pihak berkuasa menolak urus niaga itu adalah rangkaian besar penyeludupan manusia.

Bagi jenayah menjual anak sendiri, Fatima boleh menerima hukuman maksimum 15 tahun penjara di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia. –

Source: mStar

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *