Hujung Bulan Nak Kahwin, Bakal Pengantin Dicekup KhaIwat Di Bilik Sewa

Pasangan bakal pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik sewa di kawasan perumahan, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dalam serbuan jam 2 pagi tadi, anggotanya mengambil masa hampir setengah jam untuk menunggu pintu bilik berkenaan dibuka.

Beliau berkata, pintu bilik itu kemudian dibuka lelaki berusia 33 tahun dan membenarkan pemeriksaan dilakukan dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berusia 23 tahun yang hanya berkain batik bersembunyi dalam bilik air.

“Hasil soal siasat mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang ikatan sah atau suami isteri dan mereka mengaku bakal berkahwin pada 27 Mac ini,” katanya

Radzi berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat barangan kelengkapan untuk perkahwinan termasuk cenderahati ditemui dalam bilik berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati, wanita yang berasal dari Yan bekerja di sebuah pasar raya di bandar raya ini pernah ditahan kerana disyaki berkhaIwat di daerah Kuala Muda sebelum ini.

Sementara itu, dalam serbuan di bilik sewa berasingan di kawasan sama, anggota JAIK turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang didapati bersekedudukan dalam sebuah bilik dengan dua wanita berusia 22 dan 20 tahun.

Radzi berkata, lelaki berstatus duda itu berasal dari Sungai Petani dan bekerja di sebuah kedai nasi kandar manakala dua wanita itu masing-masing berasal dari Kelantan dan Alor Setar.

Beliau berkata, seorang daripadanya bekerja di salun rambut manakala seorang lagi tidak bekerja dan kedua-duanya masih bujang.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa bilik sewa di situ disewa dengan harga RM300 sebulan.

“Berikutan itu, kesemua mereka yang ditahan didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *