‘Dulu Pilot Di Udara, Sekarang Pilot Di Darat’ – Hilang Pendapatan Sebab PKP, Juruterbang Kini Jadi Rider FoodPanda Demi Keluarga

TIADA siapa menduga, pandemik Covid-19 berpanjangan mampu merubah kehidupan seseorang itu dalam sekelip mata.

Nasib sama dialami kapten pesawat, Khairul Anwar Ajid, 40, yang kini memilih kerjaya sebagai penghantar makanan apabila sektor penerbangan terjejas berikutan sekatan pergerakan.

Khairul Anwar berkata, dia terpaksa bercuti tanpa gaji dan kesukaran mendapatkan pekerjaan menyebabkan dia memilih kerjaya penghantar makanan sepenuh masa.

Menurutnya, dia menghantar ‘resume’ kepada beberapa syarikat, namun tiada balasan mungkin kerana dia hanya ada kemahiran memandu kapal terbang dan mengajar sahaja.

“Sebelum menceburi dunia penerbangan, saya pernah menjadi pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Saya lebih cenderung kepada pekerjaan praktikal berbanding penyelidikan, lagipun bidang penerbangan sudah menjadi minat saya sejak dulu lagi.

 

“Saya fikir inilah kerjaya yang akan memberikan kelebihan kepada saya dan keluarga, namun takdir Tuhan setelah 10 tahun dalam bidang ini, akhirnya saya terpaksa melepaskan jawatan buat sementara,” katanya yang mengambil cuti tanpa gaji.

Khairul Anwar berkata, dia mengakui kerjaya penghantar makanan lebih mencabar dan berisiko tinggi berbanding mengendalikan pesawat.

Menurutnya, pesawat ada sistem kecemasan khusus di udara manakala menunggang motosikal di jalanan tidak tahu bahaya bakal menimpa.

“Pendapatan memang jauh beza, dulu sehari minimum RM600, kini setelah meredah hujan lebat dan panas terik baru dapat RM50 hingga RM70.

“Menjadi penghantar makanan sahaja tidak cukup menanggung perbelanjaan diri saya dan keluarga, namun saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah berikan buat masa sekarang.

“Saya dan isteri turut cari duit sampingan dengan menjadi ejen menjual kambing perap dan steak,” katanya.

Menurutnya, dia berharap sektor penerbangan kembali pulih supaya boleh bekerja semula seperti biasa.

Terdahulu, Khairul Anwar berkongsi di Facebook mengenai kerjaya e-hailing dan juruterbang dianggapnya mempunyai banyak persamaan setelah mempunyai pengalaman dalam kedua-dua bidang itu. – Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *