63 Pemakai Gelang Kuarantin Diburu, Ingkar Arahan Kuarantin Dan Keluar Rumah

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan 63 individu yang ingkar arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua individu itu akan dikesan dengan menggunakan kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini kita masih ada 63 individu yang belum dikesan. Apa KKM laksanakan adalah bekerjasama dengan pihak PDRM.

“Mereka akan dikesan dengan menggunakan kepakaran polis,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya boleh menimbangkan cadangan kemungkinan menggunakan ‘wristband’ atau gelang kuarantin Covid-19 yang boleh mengesan lokasi pemakainya seperti di Hong Kong.

Namun, beliau berkata, cadangan penggunaan alat itu perlu diteliti termasuk kos yang perlu dibelanjakan.

“Kita boleh pertimbangkan tetapi ada kos yang perlu diteliti. Sekarang kita guna MySejahtera. Aplikasi ini juga dapat memberikan kita maklumat.

“Kita dapati ramai juga yang walaupun sepatutnya berada di rumah tetapi tiada di rumah. Contohnya satu kes di Johor.

“Polis datang ke rumah untuk memastikan individu yang dikuarantin itu ada di rumah tetapi sebaliknya individu itu tiada di rumah. Jadi polis tangkap dan akan kita dakwa ke mahkamah untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau juga mengulas mengenai Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang gagal mematuhi arahan HSO seperti kes wanita di Perak yang memakai ‘wristband’ namun didapati makan di luar.

“Kes ini memang betul. Dia pakai ‘wristband’ tetapi apabila keluar di tempat awam dia dikesan oleh orang ramai yang ambil gambar dan hantar kepada kita.

“Kita jalankan penyiasatan untuk mengesan individu berkenaan yang melanggar peraturan kuarantin di rumah.

“Individu dikuarantin yang datang ke klinik kesihatan untuk tamatkan tempoh pemantauan 14 hari, kalau ‘wristband’ tak dipakai akan didenda. Itu tindakan kita. Tetapi untuk menyelesaikan masalah ini jadi kita mewajibkan sekarang kuarantin ini di pusat kuarantin,” katanya.

Terdahulu, dalam sidang media hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua rakyat Malaysia termasuk warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini akan dikenakan kuarantin wajib di pusat kuarantin, bermula Jumaat ini.

Makcik pemakai gelang kuarantin keluar rumah

Ia berikutan terdapat segelintir individu yang pulang dari luar negara didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan itu dan tindakan mereka amat tidak bertanggungjawab.

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat keputusan bermula Jumaat ini untuk mewajibkan prosedur kuarantin 14 hari kepada rakyat Malaysia atau warga asing yang pulang dari luar negara di pusat kuarantin ditetapkan kerajaan,” katanya. – Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *