KEPULAUAN SOLOMON – Para saintis terpaksa menunggu sehingga 80 tahun sebelum berjaya membongkar penemuan seekor tikus gergasi daripada spesies Uromys vika di sini.
Berukuran 45.72 sentimeter (sm) panjang serta memiliki berat melebihi 900 gram (g), tikus itu dikatakan mampu mengupas kelapa menggunakan giginya.
Mail Online melaporkan, tikus itu dipercayai empat kali lebih besar berbanding saiz tikus hitam di Britain yang membesar pada saiz yang tidak melebihi 25 cm.
Ketika ini juga, Uromys vika dianggap sebagai antara spesies tikus hidup terbesar di dunia.
Bagaimanapun, satu-satunya tikus yang dijumpai itu mati akibat cedera dan spesies terbabit kini dikategorikan sebagai ‘sangat terancam’ disebabkan populasinya serta ancaman yang diterima daripada industri pembalakan.
Difahamkan, kewujudan tikus tersebut dikesan sekurang-kurangnya sejak dua dekad lalu khususnya menerusi cerita lisan penduduk tempatan di kepulauan ini.
Dalam pada itu, pakar mamalia dari Field Museum di Chicago, Amerika Syarikat (AS), Dr. Tyrone Lavery memberitahu, antara halangan yang menyukarkan proses pencarian tikus itu ialah lokasi sarangnya yang dikatakan dibina di atas pokok tinggi.
“Jika anda mencari sesuatu yang hidup di atas tanah, anda hanya melihat menerusi dua dimensi iaitu di kiri dan kanan serta depan dan belakang sahaja.
“Namun, jika anda mencari sesuatu benda hidup yang berada di atas pokok pada ketinggian melebihi sembilan meter, maka anda perlu membuka satu dimensi baharu dalam proses pencarian ini,” katanya.
Penemuan terbaharu itu dikatakan telah diterbitkan dalam Journal of Mammalogy sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan spesies tersebut di Kepulauan Solomon yang terletak di timur Papua New Guinea itu.
Sumber – utusan