Bila Sekali Check Handphone Suami, Penuh Dengan Whatsapp Suami Dengan Wanita Lain. Sebak!… Saya dah mendirikan rumah tangga hampir empat tahun lalu. Buat masa ini, rumah tangga kami belum dikurniakan anak lagi.
Sebelum memilihnya menjadi suami, kami berkenalan tidak lama bahkan suami mengajak berkahwin hanya selepas sebulan berkenalan. Kata suami lagi, dia sudah penat bercinta lama-lama. Kebetulan kami senasib, sama-sama pernah dikecewakan, jadi saya memahaminya.
Selepas berkahwin, kami tinggal berjauhan atas tuntutan kerja. Saya di utara manakala suami pula di Pantai Timur dan kami hanya bertemu dua kali sebulan. Bahagia ketika itu milik saya. Namun selepas empat bulan mendirikan rumah tangga, saya mula mendapat tahu sedikit demi sedikit perangai suami yang mana dia sebenarnya ramai kekasih. Ada kesempatan, saya melihat telefon bimbitnya dan penuh dengan mesej dari pelbagai wanita.
Disebabkan perkahwinan kami masih baru, saya banyak bertabah dan bertahan. Bila suami dapat kerja yang lebih jauh, saya juga bertindak menukar kerja dan mengikutnya. Bermulalah episod rumah tangga kami secara normal. Walau pun bekerja, saya sedaya upaya menjaga segala keperluan suami
Tapi malangnya, di negeri baru bertugas, suami ada hobi baru. Dia suka main mesin judi. Itu pun saya dapat tahu daripada kawan-kawan baiknya. Dahulu sebelum tahu hobinya ini, saya pelik bila duit gajinya selalu habis. Dia pula minta wang dengan saya. Macam-macam alasan diberikan, mahu bayar hutang kawan, kawan pinjam duitnya dan sebagainya.
Lama kelamaan, saya sudah tidak percaya kepadanya lagi. Saya mula menyiasat dan ketika itulah saya tahu dia berjudi. Kami selalu bergaduh disebabkan hal ini. Sikap mata keranjang suami juga tidak henti-henti. Lepas satu, satu. We Chat, Facebook, WhatsApp dan sebagainya. Hinggalah kemuncaknya, kami bergaduh besar dan suami lafazkan cerai. Perasaan terlalu menyayanginya, saya rela rujuk semula selepas dia janji akan berubah. Saya bahagia lepas rujuk, hati juga tenang.
Tapi rupanya hanya seketika. Allah sering memberikan saya petunjuk. Kali ini saya terjumpa mesej suami dengan kekasih lamanya. Bila ditanya dia mengaku dia curang dan pujuk saya untuk bermadu. Jujurnya suami memang tidak mampu, perbelanjaannya saya yang tanggung. Perempuan itu kata dia terima suami seadanya, susah senang sanggup bersama. Dia pasti akan mengadu pada suami setiap kali saya hubunginya. Saya berbicara dengan baik dan tak pernah maki-maki, cuma mahu sedarkan dia tentang realiti. Namun katanya, dia lebih lama kenal suami dan suami pernah ajak kahwin ketika dia belajar dulu dan tidak dapat lupakan suami kerana itu cinta pertama nya.
Saya tanya suami, adakah disebabkan soal anak tapi katanya tidak tapi masa yang sama, katanya takdir menemukan hatinya dengan wanita itu. Berbulan saya makan hati dan pura-pura redha dengan hubungan mereka. Bahkan suami akan marahmarah kalau dia tahu saya menelefon wanita itu. Kini saya sudah tak mampu bertahan lagi. Saya bagi kata dua pada suami, dia atau saya dan saya ajak dia ke pejabat agama. Tak sempat ke pejabat agama, ayah saya pula meninggal dunia, ibarat jatuh tersungkur diri saya. Saya jadi tak tentu arah, sakit bertambah parah hingga kena ambil cuti panjang. Keluarga mentua cuba nasihati suami tapi dia degil bahkan dia tidak mahu ceraikan saya. Tak dapat berhubung cara terang, mereka bertemu cara gelap namun Allah selalu memberi petunjuk kepada diri saya tentang cara suami.
Akhirnya, saya dapat menghubungi keluarga wanita itu. Dia marah bila saya libatkan keluarganya bahkan suami juga marah. Tapi entah dari mana saya dapat kekuatan melawan dan saya tunjukkan semua bukti yang ada. Keluarganya memahami masalah saya, mereka cuba membantu. Perempuan itu jadi takut dan minta saya jangan ganggu keluarganya lagi jika dia tak ganggu suami saya lagi. Sejak itu mereka tidak lagi berhubungan tetapi tidaklah dapat saya pastikan kalau masih sembunyi-sembunyi berjumpa di belakang saya.
Sejak kejadian ini, jiwa saya tidak tenteram. Sakit yang saya rasakan terlalu mencengkam jiwa. Saya cari kekuatan dengan kembali kepada Allah Taala. Walaupun suami berjanji tak berhubung lagi tapi saya belum mampu melupakan apatah lagi memaafkan mereka. Saya akui masih sayang suami dan tak kuat untuk berpisah.
Keluarga sudah tidak mahu mendengar masalah saya lagi kerana kata mereka, saya perempuan paling bodoh yang masih terima lelaki yang menyakiti hati saya. Hanya Allah yang tahu betapa sakitnya hati ini. Saya ingin hidup normal tetapi perkara itu selalu datang dalam fikiran saya. Saya ingin ada zuriat dengan harapan suami akan berubah. Saya juga rindukan arwah ayah. Saya perlukan kekuatan untuk bangkit dari ubat luka ini. Doakan saya diberi kekuatan dan masa yang sama, saya perlukan nasihat dan dorongan untuk kembali pulih. Bantulah saya.