Gara-Gara Mahu Lari Dari Pemeriksaan Polis, Pemandu Lori Melanggar 15 Kenderaan

Gara-Gara Mahu Lari Dari Pemeriksaan Polis, Pemandu Lori Melanggar 15 Kenderaan.

SAJAHEBOH.COM - Gara-Gara Mahu Lari Dari Pemeriksaan Polis, Pemandu Lori Melanggar 15 Kenderaan Gara- gara mahu melarikan diri daripada pemeriksaan polis, sebuah lori dipandu seorang lelaki melanggar 15 kenderaan yang diletakkan di kawasan sebuah flet di USJ 1, di Subang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu lori berkenaan dikatakan tidak mahu memberhentikan kenderaan selepas didapati membawa muatan batu berlebihan di Batu 9 Cheras, Kajang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang cuba mengejar lori berkenaan, namun pemandu itu terus memecut kenderaan itu dari Kajang hingga ke USJ 1 sebelum meminta bantuan daripada IPD Subang Jaya.

“Sebaik menerima panggilan bantuan itu, enam kereta peronda (MPV) dan dua anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) daripada IPD Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota MPV yang cuba menahan kenderaan itu kemudian bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori terbabit, bagaimanapun pemandu itu terus memecut kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Azlin berkata, tindakan melulu pemandu lori terbabit yang terus memecut, mengakibatkan kenderaan berat itu melanggar 15 kenderaan yang diletakkan di sekitar kawasan flet berkenaan.

“Bagaimanapun, lori itu hilang kawalan sebelum terbabas di kawasan berhampiran flet terbabit. Orang awam yang melihat kejadian itu bertindak menahan dan membelasah suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Anggota MPV yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa suspek ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kejadian lori terbabit yang dikejar polis itu turut tular di media sosial melalui beberapa rakaman video yang dirakam saksi kejadian, hari ini. Dalam video berdurasi 37 saat itu, jelas kelihatan lori berkenaan yang meletakkan bendera sebuah parti politik dilihat masih memecut kenderaan walaupun anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar.

Dalam pada itu, Mohamad Azlin meminta orang ramai tidak mengeluarkan komen negatif memandangkan polis masih menjalankan siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen negatif berhubung kejadian itu yang tiada kena mengena dengan politik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *