Diculik Dan Dipaksa Kahwin Dengan Dipacu Pistol. Seorang jurutera keluli yang menghadiri majlis perkahwinan rakannya tiba-tiba diculik dan kemudian diacukan senjata api ketika dipaksa berkahwin dengan wanita tidak dikenalinya di Patna, negeri Bihar, India.
Dalam laporannya kepada polis, lelaki itu, Vinod Kumar, berakta dia menghadiri majlis perkahwinan rakannya di daerah Nalanda, berhampiran Patna.
Ketika di majlis itu, sekumpulan lelaki, dipercayai ahli keluarga wanita berkenaan berkawan dengannya sebelum mengajaknya keluar dari rumah pengantin.
“Mereka kemudian menculik saya dan dibawa ke sebuah rumah.
“Saya kemudian dipaksa melekatkan serbuk merah tanda perkahwinan di kepala seorang wanita,” katanya.
Menurut laporan Gulf News semalam, Vinod enggan dan memberitahu dia perlukan kebenaran ibu bapa untuk berkahwin namun dia kemudian diacu senjata api, dipercayai pistol ke kepalanya.
Kahwin paksa itu dikenali sebagai ‘Pakadua Vivah’, amalan yang biasa dilakukan di Bihar, oleh keluarga wanita yang tidak mampu menyediakan mahar untuk mengahwinkan anak mereka dengan pasangan dianggap secocok.
Laporan itu tidak menyebut bila kejadian itu berlaku namun menurut Gulf News, ia berlaku baru-baru ini.
Vinod menangis kerana paksaan itu dan seorang perempuan dipercayai saudara bakal isterinya berkata: “Kami hanya mengahwinkan kamu, bukannya nak gantung kamu.
“Kenapa menangis kuat begini? Diam!”
Dalam laporan polis, Vinod menegaskan dia tidak pernah mengenali wanita berkenaan yang kini secara tidak langsung sudah menjadi isterinya.
Senior Superintendan polis di Patna, Manu Maharaj, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan kes berkenaan.
Pada 2016, sebanyak 2,877 kejadian menculik dan dipaksa kahwin di Bihar, 2015 (3,001 kes), 2015, 2014 (2,533 kes) dan 2013 (2,922 kes).
Source: Harian Metro